Archive for the Category »Berita «

Teksi Air Di Sungai Melaka Mula Beroperasi Dalam Masa Terdekat

BANDARAYA MELAKA, 29 Sept – ‘Water Teksi’ (Teksi Air) yang akan beroperasi di Sungai Melaka dalam masa terdekat dijangka mampu menarik kedatangan pelancong ke negeri Melaka.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (CEO) Perbadanan Pembangunan Sungai dan pantai Melaka (PPSPM), Baharom Majid, Teksi Air yang dibekalkan oleh Syarikat CB Limited yang berpengkalan di Mancester, United Kingdom dan merupakan pembekal utama di seluruh dunia ini mampu memuatkan 12 orang penumpang pada satu-satu masa.

“Apabila ianya mula beroperasi nanti, Teksi Air ini akan menjadi satu-satunya Teksi Air yang beroperasi di Asia Selatan selain di Afrika Selatan, New Zealand dan Hong Kong,” katanya.

Jelasnya, Teksi Air tersebut merupakan aspirasi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam mempelbagaikan produk-produk pelancongan di negeri ini dan ianya akan diuruskan oleh PPSPM.

“Teksi Air yang berkuasa 150 kuasa kuda tersebut kini berstatus percubaan dan perlesenan dan ianya akan beroperasi dari Taman Rempah hingga ke Melaka Sentral, bagaimanapun harga untuk menaikinya masih belum ditetapkan,” tambahnya.

Category: Berita  One Comment
KOTA FESYEN PUSAT DAGANGAN TERSOHOR

Berpotensi Jadi ‘Whole Sale Emporium’ Malaysia
KOTA FESYEN PUSAT DAGANGAN TERSOHOR

AYER KEROH, 15 Sept- Kota Fesyen (Fashion City) yang terletak di lokasi strategik di kawasan Pusat Dagangan Antrabangsa Melaka (MITC) berpotensi menjadi pusat perdagangan terkenal di seluruh dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam optimis kedudukan Kota Fesyen MITC yang strategik di antara Kuala Lumpur dan Singapura bakal menjadi katalis terpenting menjadikan pusat pertumbuhan baru ini sebagai pusat perdagangan fesyen terkenal di Malaysia, kini dan di masa hadapan.

Katanya, walau pun masih terdapat lot-lot yang kosong namun ia akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini malah Kerajaan Negeri akan membina lagi 26 lot perniagaan baru berhadapan Mydin Hypermarket bagi menampung keperluan peniaga.

“Suasana perkembangan di perniagaan di kawasan ini amat menarik sekali. Saya percaya lebih banyak lagi pusat perniagaan baru di bina di sini yang akhirnya menjadikan Kota Fesyen MITC sebagai pusat perdagangan terkenal di seluruh dunia,” kata Mohd Ali semasa berucap merasmikan kedai Matahari Carperts milik usahawan karpet, Shashi G. Jogi, di sini hari ini.

Ketua Menteri memberitahu, kini nama MITC sudah terkenal ke seluruh negara dan hanya menunggu hari sahaja menjadi terkenal di peringkat antarabangsa apabila peniaga-peniag di Kota Fesyen meraih keuntungan besar dan seterusnya menjadi pedagang terkenal.

“Saya juga ingin mempelawa orang-orang Melaka yang banyak wang supaya menyewa lot-lot yang masih ada. Kini saya nampak ramai orang dari luar yang berniaga di Kota Fesyen kerana mereka yakin dengan potensi perniagaan di sini. Sepatutnya orang Melaka sendiri mesti mengambil kesempatan dan menjadi orang kaya terkenal di Malaysia. Ianya boleh berlaku menerusi perniagaan,” ujar Mohd Ali.

Beliau menjelaskan, Melaka sepatutnya sudah menjadi pusat perdagangan antarabangsa dan menjadi ‘whole sale emporium’ Malaysia sepertimana Melaka 600 tahun lalu di mana semua pedagang tertumpu di sini untuk bertukar-tukar dan membeli barang secara borong yang akhirnya Melaka menjadi pusat dagangan terkenal seluruh dunia ketika itu.

Katanya, barang-barang dari Eropah dan juga Timur serta dari China bertukar tangan di Melaka sehinggakan ia menjadi terkenal dan jadi rebutan kuasa-kuasa dunia dan akhirnya selat terpanjang dari Selatan Thailand hingga ke Singapura dinamakan Selat Melaka.

“Itulah sejarah Melaka dulu termasuk Selatan Thailand, Singapura dan sebahagian Sumatera adalah di bawah Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka hingga menjadi rebutan. Portugis dari jauh datang menyerang Melaka untuk mengambil alih laluan pusat perdagangan. Kemudian datang pula Belanda, Inggeris juga Jepun silih berganti.

“Melaka ketika itu memang terkenal dan kita hari ini sebagai anak Melaka mestilah bertekad untuk membangunkan negeri kita yang bersejarah ini tanpa dari mana kita berasal, tidak kira kaum dan bangsa mesti sayang kepada negeri kita dan bangunkan Melaka dengan konsep 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapain diutamakan,” ujar beliau.

- Kota Fesyen MITC terletak berhampiran dengan Jafmanurin’s Homestay

“Ingat Melaka Ingat Jafmanurin’s Homestay”

Category: Berita  Leave a Comment
Tarikan air pancut berirama

air pancut berirama yang mempesonakan orang ramai bertempat di Jalan Munshi Abdullah dan berhadapan dengan Eyes On Melaka diadakan dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 malam hingga 11 malam.



MELAKA 11 Sept. – Melalui Jalan Munshi Abdullah dekat sini khususnya pada waktu malam pastinya mata pengunjung tertarik dengan satu binaan yang terletak di sebelah kanan jalan.

Sebelum ini, mata pengunjung hanya tertumpu pada salah satu produk pelancongan Melaka yang berada di seberang Jalan Munshi Abdullah iaitu ‘Eyes On Melaka’ .

Namun kini, satu lagi tarikan yang pasti membuatkan pengunjung terpesona adalah air pancut berirama yang pertama wujud di negeri ini.

Berpeluang melihat air pancut berirama pastinya memberikan satu pengalaman yang indah dan menyeronokkan khususnya kepada mereka yang pertama kali melihatnya.

Terletak di sebelah kanan Jalan Munshi Abdullah berdekatan dengan Jalan Hang Tuah dan Sungai Melaka menjadikan air pancut berirama sebagai lokasi kunjungan yang strategik.

Keunikannya mampu menarik ramai pengunjung tidak kira sama ada mereka yang menyusuri Sungai Melaka menggunakan perkhidmatan bot Melaka River Cruise atau mereka yang melalui jalan tersebut.

Produk pelancongan baru itu menjadi salah satu perhentian selama dua minit bagi mereka yang menaiki perkhidmatan Melaka River Cruise untuk menikmati keunikan air pancut berirama itu selain melihat bangunan-bangunan bersejarah sepanjang menyusuri Sungai Melaka.

Pertunjukan air pancut berirama dengan lagu-lagu yang menampilkan budaya negara ini selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Irama dondang sayang serta lagu-lagu rakyat masyarakat Cina dan India yang rancak mengiringi corak semburan air pancut itu pastinya menarik perhatian pengunjung.

Melihat telatah anak kecil yang cukup seronok mendengar lagu diiringi air pancut berirama pasti membuatkan ibu dan ayah terhibur.

Pancutan tertinggi air pancut berkenaan ialah 14.4 meter serta mempunyai lebih 10 corak semburan mengikut irama lagu.

Pemandangan persekitarannya yang cantik menjadikan tempat itu sebagai salah satu lokasi fotografi yang utama bagi pengunjung merakam gambar kenangan.

Kerdipan lampu yang silih berganti membuai keasyikan pengunjung serta membuatkan mata menjadi lebih tertarik pada simbahan cahaya berwarna-warni yang mengiringi pancutan air tersebut.

Air pancut berirama di bawah pengelolaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu beroperasi sejak setahun lalu.

Kini Jalan Munshi Abdullah tidak lagi sunyi seperti dahulu kerana sejak wujudnya air pancut berirama itu, ia kini semakin sesak.

Bagi pengunjung yang datang ke Melaka pastinya akan tertarik untuk singgah melihat air pancut berirama yang pertunjukannya diadakan dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9.00 hingga 11.00 malam.

Pada hujung minggu termasuk cuti umum, pertunjukannya dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi bergantung kepada kehadiran pengunjung.

Air pancut berirama menjadi salah satu produk pelancongan di negeri ini untuk menambah lokasi menarik yang boleh dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

Walaupun masih baru, namun produk pelancongan terbaru Melaka itu sudah mendapat tempat di hati pengunjung.

Bagi Azie Farhana Abu Zain, 22, dia kagum ketika pertama kali melihat pertunjukkan air pancut berirama itu.

”Saya berasa teruja melihat air pancut ini ‘menari’ mengikut lagu dengan cahaya berwarna-warni menambah tarikan apabila ia menerangi seluruh kawasan ini,” katanya.

Bagi pelajar Kolej Multimedia Melaka, Ummu Sakinah Muhd. Zawawi, 22, pemandangan di kawasan itu amat menarik dan ia menarik pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.

”Jika kita lihat, air pancut berirama juga terdapat di negeri lain tetapi Melaka menonjolkan satu keunikan di mana lagu yang didendangkan menonjolkan budaya kita.

”Selain itu, cahaya yang menerangi tempat ini memukau mata setiap pengunjung yang datang,” katanya.

Category: Berita  2 Comments
Lagi Produk Pelancong Baru Wujud Di Melaka

Menerusi Kerjasama BPP & Seafarer Explorer
Lagi Produk Pelancong Baru Wujud Di Melaka

BANDARAYA MELAKA, 26 Ogos – Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri Melaka akan mengadakan kerjasama dengan Seafarer Boat Explorer Sdn Bhd untuk mempromosikan Melaka menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Melaka.

Promosi tersebut adalah dengan mengadakan pakej untuk pengunjung menaiki bot Seafarer Explorer Cruise melihat keindahan beberapa kawasan di sekitar pantai di negeri Melaka.

Pakej itu melibatkan Menara Taming Sari (MTS) yang dijadikan sebagai pusat mempromosikan produk pelancongan tersebut dengan menjual tiket-tiket kepada para pengunjung yang menaiki crusie itu.

Selain membwa pelancong bersiar-siar di Pulau Upeh, Sungai Melaka, Eye On Malaysia (EOM) dan Masjid Terapung iaitu Masjid Selat, pelancong juga akan dapat menikmati makanan di dalam bot berkenaan yang juga termasuk di dalam pakej tersebut.

Ianya merupakan satu lagi produk pelancongan terbaru yang kini dalam perancangan mengikut “1 Stok Centre”, di mana produk pelancongan itu menelan modal lebih RM1/2 juta.

Lebih hebat lagi apabila pakej berkenaan melibatkan semua agensi berkaitan pelancongan dapat bersatu dan ini secara langsung akan meningkatkan ekonomi pelancongan di negeri yang kaya dengan sejarah ini.

Pengarah Urusan Seafarer Boat Explorer, Mike Thien berkata, cruise tersebut bukan sahaja membawa pelancong pada waktu siang hari, malah turut dibawa bersiar pada waktu malam.

Katanya, pakej tersebut adalah untuk tingkatkan kemasukan pelancong yang menjadi salah satu agenda utama kerajaan negeri bagi mempromosikan Melaka yang telah diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia (BWD) oleh UNESCO pada 7 Julai tahun lalu.

“Hasrat mewujudkan pakej pelancongan ini bukan satu perkara baru, tapi sudah lama dikehendaki oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

“Jadi, saya berazam untuk memenuhi hasrat Ketua Menteri dan saya sahut cabarannya, “Malaysia boleh, Melaka lagi boleh”, sekaligus merealisasikan konsep Perdana Menteri iaitu “1Malaysia”.

Mike berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media ketika mengadakan majlis berbuka puasa di Restoran Seafarer di Klebang, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan negeri, Nazary Ahmad bersama para pegawai dan kakitangannya; Ketua Pengarang Eksekutif Melaka Hari Ini (MHI), Ishak Dalib; Priseden Kelab Media Massa (KEMM), Mohd Rafi Bacikdan para jemputan lain.

Buat masa ini katanya, sebanyak tiga cruise telah digunakan untuk membawa pelancong bersiar-siar dan ianya telah menunjukkan perkembangan positif, di mana pelbagai pihak mahukan cruise-criuse itu ditambah lebih banyak lagi.

“Sekarang ini, bot bersiar pada waktu malam dinamakan “Moonlighting”, waktu siang”Island Hopping” dan “Safari Cruise”.

“Safari Cruise juga akan membawa pelancong dari Klebang hingga ke Sungai Linggi dan kesemua perjalanan akan memakan masa selama 45 minit termasuk menyediakan pakej makanan di dalam cruise terbabit,” katanya.

Jelas Mike, kini pihaknya sedang mengadakan promosi bagi para pengunjung menaiki cruise terbabit dengan bayaran RM55 setiap seorang dalam tempoh masa tiga bulan mulai dari sekarang.

“Pada masa sekarang ini juga kami juga sedang membina sebuah cruise berukuran 60 kaki untuk muatan 60 penumpang untuk tujuan yang sama,” ujar Mike.

Beliau memberitahu, pihaknya juga dalam perancangan untuk menambah crusie-cruise iaitu menjadikan kesemuanya 10 buah.

Ujar Mike, kesemua cruise itu tidak sama seperti bot-bot lain terdapat di negeri ini kerana crusie-cruise tersebut boleh mengharungi lautan.

“Dengan adanya cruise-cruise itu nanti ianya akan menggunakan pemandu pelancong (tour operater”) terdiri daripada para nelayan yang mahir tentang laut.

“Ini secara tidak langsung akan membantu para nelayan yang telah berhenti menangkap ikan di laut untuk mendapatkan pendapatan sampingan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mike turut meminta pihak pengurusan Bas Panorama yang membawa pelancong supaya mengadakan perjalannya hingga ke Pantai Kundur, di sini, untuk tujuan promosikan sekitar pantai di kawasan itu.

“Dengan berbuat demikian secara tidak langsung akan meningkatkan perniagaan di kawasan berkenaan, selain pelancong dapat menikmati makanan laut di deretan gerai terdapat di situ,” katanya.

Category: Berita  One Comment
PRODUK BARU MELAKA TARIK PELANCONG

Muzium Pulau Besar, Muzium Kapal Selam
PRODUK BARU MELAKA TARIK PELANCONG

AYER KEROH, 19 Ogos – Melaka akan menambah dua buah muzium lagi pada tahun hadapan iaitu Muzium Pulau Besar dan Muzium Kapal Selam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, kerajaan pusat melalui jemaah menterinya telahpun meluluskan permohonan mengenainya yang dibuat oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bersama Kementerian Pertahanan yang mewakili Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) sendiri pada tahun lalu.

“Dengan kelulusan itu, Melaka dapat menambah dua buah lagi muzium, sekaligus menjadikan 23 buah muzium di negeri ini,” katanya.

Katanya, Kapal Selam milik TLDM yang berpengkalan di Cherboug, Perancis sebelum ini digunakan oleh anggota pasukan keselamatan negara untuk berlatih itu akan diletakkan di Pulau Besar, pada tahun depan.

Jelasnya, kapal selam jenis Augusta sepanjang 67.6 meter dan lebar 6.8 meter itu digunakan sebagai tempat latihan anak-anak kapal selam pertama negara, Scorpene atau KD Tunku Abdul Rahman dijadual tiba di Selat Melaka pada 16 Disember ini, sebulan selepas berlepas dari limbongannya di Brest, Perancis.

“Kapal selam ini akan ditempatkan berhampiran Muzium Pulau Besar dan bakal menjadi muzium ke-22 di Melaka, sudah tentu ia bakal menjadikan satu lagi tarikan terbaru di negeri ini dalam bidang pelancongan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, kos pembiayaan bagi membawa pulang kapal selam berkuasa diesel itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pertahanan, manakala kerajaan negeri menanggung kos penempatannya di Pulau Besar.

Ujarnyanya, dengan kehadiran kapal selam itu, Melaka kini sebaris dengan Russia, Jerman, India, Australia, Perancis dan Indonesia yang mengubahsuai kapal selam lama sebagai muzium.

“Kita akan mengambil contoh Muzium Kapal Selam di Jakarta, Indonesia untuk dibina di sini dan saya yakin ia mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Melaka,” katanya.

Tambahnya, semua kerja mengubahsuai ruang dalaman kapal selam itu dijangka mengambil masa tiga bulan dan akan mula beroperasi selewat-lewatnya menjelang April 2010.

Category: Berita  Leave a Comment
SENI CAHAYA 'PANI' WARNAI KEINDAHAN MALAM DI MELAKA

Bakal Tingkatkan Imej, Populariti Pelancongan
SENI CAHAYA ‘PANI’ WARNAI KEINDAHAN MALAM DI MELAKA

BANDARAYA MELAKA, 19 Ogos – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Melaka bakal menjadi lokasi pertama di Asia Tenggara mengaplikasikan ‘Pani Projection And Lighting’ untuk memancarkan cahaya luar biasa yang terhasil dari keajaiban lensa bagi mewarnai malam-malam gemilang di sekitar bandaraya.

Beliau memberitahu produk yang menggabungkan kepakaran teknologi terkini dengan keajaiban cahaya dijangka menjadi satu lagi value added kepada produk-produk pelancongan sedia ada.

Katanya lagi kewujudan Pani Projection & Lighting bakal menggamit lebih ramai pengunjung datang untuk melihat keindahan seni cahaya pani projector ke Melaka, ‘Negeri Taman Tema Lagi Bersejarah’ terulung di Malaysia.

“Ia juga bakal menterjemahkan keunggulan sebenar Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah dan destinasi pelancongan yang sentiasa peka kepada perkembangan teknologi semasa serta sentiasa mendahului lokasi pelancongan lain dari segi penawaran produk-produk pelancongan,” ujar Mohd Ali berucap melancarkan ‘Pani Projection And Lighting’, semalam.

Ketua Menteri percaya beberapa promosi yang bakal dijalankan oleh Hectares & Hectres Advertising & Marketing Sdn Bhd selaku agen tunggal produk dari Austria itu akan mencapai sasaran dan akan meningkatkan lagi imej serta populariti Melaka.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Zulkifli Mohamad; Pengarah Urusan Hectares & Hectres Advertising & Marketing Sdn Bhd, Jufry Anuar Azmi dan Pengarah Aftera Atlantik Sdn Bhd, Muslan Jamil.

Mohd Ali juga memaklumkan bahawa Jufry Anuar Film Production milik Jufry Anuar bakal menggunakan teknologi pani ini di dalam penerbitan filem sulungnya berjudul ‘JEBAT’ yang akan diproduksikan di Melaka sepanjang November ini.

“Sebagai bandaraya yang banyak menyimpan khazanah sejarah, saya berharap penerbitan filem ini nanti dapat meningkatkan promosi yang boleh mengundang kehadiran lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri yang tentunya dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagan di negeri ini,” kata Mohd Ali.

Sementara itu Jufry Anuar ketika ditemui memberitahu syarikatnya telah mengenalpasti lima lokasi strategik sekitar bandaraya bagi tujuan mempromosikan keindahan seni cahaya pani projector.

“Ia merupakan satu produk unik yang mampu merubah wajah sesebuah objek atau bangunan menggunakan teknologi pani yang membiaskan corak-corak warna menarik di permukaan dinding,” ujarnya.

Buat permulaan katanya, ‘Pani Projection & Lighting’ akan diletakkan di MITC, Graha Makmur, Sungai Melaka serta Melaka Theme Park sebaik sahaja ia beroperasi.

Category: Berita  Leave a Comment
WONDERLAND THEME PARK PRODUK BARU PELANCONGAN

Bakal Tarik 300,000 Pelawat Setahun
WONDERLAND THEME PARK PRODUK BARU PELANCONGAN

MUMBAI, 12 Ogos – Industri pelancongan negeri Melaka terus menempa kemajuan apabila sebuah lagi produk baru pelancongan negeri berasaskan rekreasi, Melaka iaitu Wonderland Theme Park yang sedang dalam pembinaan di Ayer Keroh, dijangka siap dan memulakan operasinya Disember depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, taman tema air itu bernilai kira-kira RM28 juta dimajukan sektor swasta dengan keluasan tapak 32 ekar, mampu menarik sekurang-kurangnya 300,000 pelancong baru setahun.

Menurutnya, Melaka Wonderland Theme Park mengandungi 28 produk permainan dan rekreasi air, mampu menampung sehingga 4,000 pengunjung pada suatu masa menjadi sekaligus menjadi pelengkap kepada industri pelancongan negeri yang semakin popular di peringkat global sekarang.

“Pada masa ini kerja-kerja penyiapan tapak taman itu sedang rancak dilaksanakan pemajunya, Agib Engineering manakala peralatan untuk tujuan itu sedang disiapkan oleh syarikat Arihant Industrial Corporation Limited di sini,” katanya.

Mohd Ali berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai kemajuan projek itu yang disampaikan oleh Penolong Pengurus Arihant Industrial Corporation Limited, Mangesh Taksale di kilang syarikat berkenaan di sini, hari ini.

Mohd Ali yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke India, termasuk Mumbai dan Hyderabad, mengunjungi kilang itu bagi melihat sendiri kerja-kerja penyiapan peralatan untuk taman tema itu yang dilaksanakan syarikat berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Urusan syarikat, Rajen Shah.

Selain melawat kilang itu, Ketua Menteri turut melawat syarikat Reliance Industries Limited dan kilang Actics Biologics yang menghususkanbidang bioteknologi.

Hari ini (semalam) Ketua Menteri melawat syarikat Vivobio terletak di Hyderabad, kira-kira satu jam 15 minit penerbangan dari Mumbai sebelum berlepas pulang ke Melaka pada sebelah malamnya menerusi Chennai.

Delegasi Melaka turut dianggotai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md Yunos Hussin dan Timbalannya, AR Ismail Othman.

Mohd Ali berkata, beliau berpuas hati terhadap pencapaian projek taman tema itu dan yakin produk baru pelancongan negeri itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke negeri Melaka Bandaraya Warisan Dunia (BWD).

“Pendekatan pelancongan berasaskan rekreasi yang kita perkenalkan ini diharap dapat menarik kunjungan sekurang-kurangnya 300,000 pelancong setahun.

“Ia bukan sahaja menjadi kebanggaan dan kemudahan berekrasi kepada rakyat Melaka serta negeri-negeri jiran seperti Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kuala Lumpur serta juga negara jiran, Singapura, malah menarik lebih ramai pelancong daripada negara-negara luar,” katanya.

Beliau berkata, kemunculan Melaka Wonderland Theme Park merupakan permulaan kepada produk pelancongan berasaskan taman tema di negeri ini, di mana lebih banyak lagi produk-produk pelancongan berasaskan rekreasi akan dibina di daerah Jasin, Alor Gajah serta juga di Pulau Besar bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri bersejarah itu.

Ketua Menteri berharap lebih banyak sektor swasta dapat tampil ke hadapan memajukan projek-projek seumpama kerana beliau melihat terdapat keyakinan baru di kalangan mereka yang menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor pelancongan berasaskan rekreasi.

“Ingat Melaka Ingat Jafmanurin’s Homestay”

- WONDERLAND THEME PARK terletak berhampiran dengan Jafmanurin’s Homestay.

Category: Berita  Leave a Comment
Lebih 20,000 Dijangka Kunjungi HPPNPK 2009 Di MITC

Lebih 20,000 Dijangka Kunjungi HPPNPK 2009 Di MITC
INDUSTRI ASAS TANI ALAMI TRANSFORMASI BESAR

AYER KEROH, 10 Ogos – Industri Asas Tani (IAT) yang menjadi enjin ketiga terpenting pertumbuhan ekonomi negara kini sedang melalui suatu proses transformasi yang amat memberangsangkan apabila semakin ramai rakyat, khususnya generasi muda mula menjadikan sektor berkenaan sebagai sumber pendapatan baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, sektor IAT khususnya bidang pertanian kini telah memperlihatkan satu perubahan yang cukup drastik dari aspek penyertaan generasi muda yang mula melihat potensi bidang berkenaan.

“Corak pertanian moden kini mampu menarik penyertaan lebih ramai rakyat termasuk generasi muda untuk menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan baru yang menguntungkan dan memberi pulangan lumayan,” ujarnya.

Katanya, pemilihan Melaka selaku tuan rumah Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan dari 10 hingga 16 Ogos ini juga merupakan suatu pengiktirafan besar buat seluruh rakyat serta usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan sektor berkenaan.

“Kerajaan Negeri memang memberi perhatian yang cukup serius terhadap sektor IAT di samping memberikan galakan serta bantuan, bimbingan dan sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang berminat menceburi bidang ini sepenuh masa,” ujar beliau.

Kata Mohd Hidhir lagi, perayaan HPPNPK 2009 yang bertemakan: ‘ Pertanian Menjana Ekonomi Negara’ juga bukan sahaja menjadi platform terbaik kepada usahawan IAT Melaka mempromosikan kepelbagaian produk yang dihasilkan, malah inilah kesempatan terbaik kepada mereka melebarkan jaringan perniagaan dengan usahawan IAT dari seluruh negara.

Katanya lagi, program yang berlangsung selama seminggu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) juga turut menawarkan peluang keemasan kepada orang ramai mendapatkan harga istimewa peringkat ladang atau kilang produk-produk keluaran peladang, penternak dan peladang dari seluruh negara.

“HPPNPK juga turut dimeriahkan dengan pameran flora, haiwan ternakan, ikan hiasan serta pameran jentera pertanian dan hasil pertanian.

“Jabatan dan agensi Kerajaan serta swasta juga turut memberikan khidmat nasihat kepada sesiapa sahaja yang berminat menceburi bidang perladangan, perikanan dan ternakan,” ujar Mohamad Hidhir.

Katanya, HPPNPK kali ini dijangka disertai lebih 6,000 peserta di samping setiap negeri disediakan satu pavilion bagi pameran dan 340 ruang niaga dan promosi untuk peserta.

“Kita menjangkakan kira-kira 20,000 pengunjung datang sepanjang sambutan ini berlangsung,” ujar beliau

“Ingat Melaka Ingat Jafmanurin’s Homestay”

- Jafmanurin Homestay tidak dapat menampung kehadiran peserta yang ramai kerana semuanya memerlukan penginapan yang berhampiran dengan MITC (Jafmanurin’s Homestay terletak dalam kawasan MITC)

Category: Berita  Leave a Comment
MELAKA BANDARAYA WARISAN DUNIA TERUS DILIMPAHI PELANCONG

Jadi Sebutan Seantario Dunia
MELAKA BANDARAYA WARISAN DUNIA TERUS DILIMPAHI PELANCONG

BANDARAYA MELAKA, 18 Julai – Melaka terus menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara pada setiap hujung minggu dan cuti umum berikutan kawasan pelancongannya kini menjadi sebutan ramai di serata dunia, lebih-lebih lagi baru-baru ini apabila menyambut ulangtahun pertama sebagai Bandaraya Warisan Dunia (BWD) yang diktiraf oleh UNESCO pada 7 Julai tahun lalu.

Kebanjiran pengunjung termasuk pelancong asing ke negeri bersejarah ini semakin menjadi-jadi sekaligus memberikan sumber pendapatan lumayan, terutamanya kepada para peniaga apatah lagi ditambah pula dengan beberapa produk pelancongan terbaru antaranya Menara Taming Sari (MTS), Eye On Malaysia (EOM) termasuk produk pelancongan Sungai Melaka.

Berikutan itu, hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran kemasukan pelancong ke negeri Sang Kancil ini seramai 7.2 juta sudah pasti akan menjadi kenyataan untuk menjadikan Melaka sebagai negeri pelancongan terunggul di rantau ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa lokasi pelancongan mendapati kedatangan pelancong disana bertali arus bagaikan tiada henti dan ianya sekaligus memberikan pulangan yang lumayan kepada pengusaha industri pelancongan di negeri ini.

Zoo Melaka misalnya menjadi pilihan utama dikalangan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka bagi menyaksikan sendiri pelbagai binatang yang ada di sana pada setiap hujung minggu.

Dikawasan Banda Hilir pula sentiasa sesak, bukan sahaja kenderaan malah pengunjung turut beratur untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan sendiri panorama Bandaraya Melaka melalui Menara Taming Sari.

Manakala jeti bagi para pelancong yang ingin menyaksikan pemandangan indah Sungai Melaka dengan menaiki bot Melaka River Cruise di Jalan Quayside dan Taman Rempah juga turut menjadi tumpuan para pelancong.

Eye On Malaysia yang hanya dipisahkan oleh Sungai Melaka juga turut menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara.

Pendek kata, motto Negeri Melaka ‘Melawat Melaka Bandaraya Warisan Dunia Bererti Melawat Malaysia’ amat bertepatan dan kena pada tempatnya.

Jumlah pelancong yang kian meningkat saban hari ke negeri ini ternyata turut memberi limpahan manfaat yang amat bererti sekali bukan sahaja kepada pemilik gedung membeli-belah, penarik beca, peniaga kraftangan, pengusaha warung dan restoran, pemandu teksi, pemandu pelancong, pengusaha hotel dan resort serta seluruh rakyat yang bijak menerokai bidang-bidang baru yang ada hubung kait secara langsung dengan kepesatan industri pelancongan di negeri ini.

Amat jelas sekali, Melaka kini bukan sahaja sedang merintis jalan menjadi sebuah negeri maju menjelang 2010, malah pelbagai rentetan kejayaan yang dicipta mutakhir ini makin mendekatkan Melaka menghampiri era kegemilangannya sebagaimana sejarah yang pernah terpahat kira-kira 600 tahun lalu iaitu agenda besar yang sewajarnya kita realisasikan bersama.

Hakikatnya, industri pelancongan Melaka telah memberi impak yang cukup besar terhadap pertumbuhan sosio-ekonomi rakyat negeri ini.

Category: Berita  Leave a Comment
KELAZATAN MASAKAN MELAKA MAMPU PIKAT PELANCONG

‘Tourism Players’ Diminta Bantu Promosi
KELAZATAN MASAKAN MELAKA MAMPU PIKAT PELANCONG

AYER KEROH, 7 Julai – Usaha mempromosikan masakan Melaka perlu dilakukan secara berterusan terutamanya di kalangan negara-negara ASEAN.

Ketua menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ini kerana Melaka mempunyai keunikan yang tersendiri selain mempunyai pelbagai masakan yang melibatkan pelbagai kaum seperti Melayu, Portugia, China, Baba dan Nyonya, India dan Cheti.

“Sehubungan itu saya berharap, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri bersama dengan ‘tourism players’ yang lain dapat berusaha dengan lebih gigih lagi ke arah mencapai visi Melaka Maju pada 2010 dengan sasaran kedatangan pelancong seramai 8.2 juta orang,” katanya.

Mohd Ali berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pesta Makan Padang bersama Hotel Aryaduta Pekan Baru sempena Ulangtahun Pertama Melaka Bandaraya Warisan Dunia Unesco yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, di sini tengah hari tadi.

Majlis perasmian fiesta tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh; Pengerusi Rangkaian Hotel Seri Malaysia, Datuk Seri Shafie Mohd Salleh, Pengarah Urusannya, Zahriah Abdul Kadir; Pengarah BPP, Nazary Ahmad; Franchaisee Seri Malaysia Melaka, Ahmad Sazali Sabri dan Pengurus Besar Hotel Aryaduta Pekan Baru, Winston Hanes.

Mohd Ali seterusnya berharap agensi-agensi yang berkaitan perlu memikirkan cara yang terbaik bagi menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negeri Melaka.

“Saya bergarap supaya promosi secara berterusan melalui edaran brosur dan risalah di lokasi-lokasi pintu masuk dan juga tumpuan pelancong seperti Tol Ayer Keroh, Jeti Syah Bandar mahupun di luar kawasan Melaka seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) KL Central, LCCT, Central Market dan sebagainya dapat diperhebatkan lagi,” jelasnya.

Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan atas inisiatif BPP dan Hotel Seri Malaysia yang mengadakan Padang Food & Cultural Festival yang menjadi antara acara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Melaka dan pelancong asing.

Katanya, di Melaka terdapat dua atau tiga restoran Nasi Padang dan jumlah tersebut tidak mencukupi untuk mempopularkan masakan Padang kepada pelancong.

“Promosi seperti ini penting untuk meningkatkan kesedaran kepada pelancong mengenai keunikan kebudayaan Padang dan kelazatan nasi Padang.

“Jika ini dapat dilakukan, saya yakin penggemar nasi Padang dari Singapura, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor akan turun ke Melaka untuk menikmati nasi Padang, tanpa perlu ke Pekan Baru atau ke bandar lain di Indonesia,” ujarnya.

Beliau menambah, Padang Food & Festival yang diadakan ini merupakan salah satu usaha yang dijalankan bagi mempromosikan sektor pelancongan ke arah mempopularkan lagi makanan dan budaya masyarakat Riau yang semamangnya terkenal dan hampir sama dengan adat dan makanan Melaka.

“Festival yang berlangsung selama 10 hari ini diadakan bersempena sambutan ulangtahun pertama Perisytiharan Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan ianya diharap dapat mempereratkan lagi hubungan Melaka dan Pekan Baru,” katanya.

Category: Berita  One Comment