MELAKA 29 Sept. – Melaka yang terkenal kerana kepelbagaian produk pelancongan diiktiraf dunia kini mempunyai daya tarikan baru dengan kedatangan dua ekor anjing laut dan ikan lumba-lumba.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kawasan seluas 1.2 hektar di Pulau Melaka sedang dibangunkan untuk tujuan tersebut melibatkan keseluruhan perbelanjaan berjumlah RM30 juta.
Menurutnya, bagi peringkat pertama, pembinaan Taman Sealion bagi pertunjukkan anjing laut dijangka siap pada 15 November ini manakala kolam bagi ikan lumba-lumba pula siap sepenuhnya penghujung tahun depan.
”Kedua-dua produk terbaru yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat Putri Indo Empat Lestari Sdn. Bhd. akan menambah tarikan pelancong ke negeri ini.
”Sebagai permulaan, Taman Sealion yang menempatkan kolam dan tempat pertunjukkan anjing laut sedang rancak dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan November ini.
”Bagi ikan lumba-lumba pula tempoh setahun diperlukan untuk pembinaan kolam yang luas dan kemudahan infrastruktur bagi pertunjukkan spesies itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan Taman Sealion dan ikan lumba-lumba di Pulau Melaka di sini semalam.
Mohd. Ali berkata, projek pembinaan Taman Sealion sudah siap hampir 40 peratus yang menempatkan sebuah kolam untuk pertunjukkan anjing laut dan kemudahan 1,500 tempat duduk.
Katanya, bagi Taman Sealion ia melibatkan perbelanjaan berjumlah RM4.7 juta.
”Kita memang mengharapkan taman ini akan dapat dibuka kepada orang ramai pada 15 November kerana pada waktu ini adalah musim cuti sekolah yang dijangka menarik ramai pengunjung datang ke negeri ini,” katanya.
Beliau menambah, pembinaan taman itu mengikut konsep yang sama di Taman Lagoon di Singapura dan setiap hari sebanyak tiga pertunjukkan akan diadakan.
Katanya, setiap pertunjukan akan mengambil masa selama 45 minit.
”Kadar bayaran masuk untuk melihat pertunjukkan anjing laut belum ditentukan lagi yang akan ditentukan kemudian nanti,” katanya.
Mengenai projek pembangunan terbengkalai yang terdapat di Pulau Melaka yang mencacatkan pembangunan dua produk baru itu Mohd. Ali berkata, perkara tersebut kini di peringkat akhir untuk diselesaikan.
Katanya, kerajaan negeri masih menunggu keputusan mahkamah berhubung pengambilan semula projek pembangunan di situ daripada pihak pemaju.
”Keputusan pertama memihak kepada kerajaan negeri dan kita masih menunggu proses rayuan yang dikemukakan oleh pihak pemaju dan ia dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan depan,” jelasnya.


